Entri pagi tadi entri ke-100 rupanya...
Assalamualaikum dan salam perpaduan, salam muhibah.
Jam menunjukkan tepat 2.19 pagi. Bertarikh 22 April 2009. Hari ini genap setahun saya di Sabah Negeri di Bawah Bayu. Hari ini juga, genap seorang lagi insan kesayangan saya menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-.... nanti dulu.
Setahun yang lalu, setelah mengikuti taklimat sehari, seawal jam 3 pagi kami bergerak dari hotel penginapan ke KLIA untuk merentasi Laut China Selatan, mencurahkan bakti dan ilmu yang ada kepada anak-anak bangsa. Dengan semangat yang berkobar-kobar, saya melangkah dengan penuh keyakinan. Tanpa menoleh ke belakang, saya bulatkan tekad untuk mencari rezeki di rantau orang demi keluarga tercinta. Terbayang pelbagai persoalan dalam kepala. Macam-macam yang terlintas di benak fikiran saya.
Di mana? Bagaimana? Dengan siapa? Saya juga tidak sabar. Betul tidak sabar untuk terus berbakti. Beberapa taklimat kami ikuti. Tentang negeri Sabah amnya. Terdetik di hati saya "Keningau" walau saat itu bibir saya menyebut ke Tawau. Entah kenapa, beberapa minit sebelum saya dapat surat penempatan. Hati dan bibir saya mula seiring.
Keningau! Keningau! Keningau!
Segala situasi dan keadaan yang diceritakan oleh Ramlee Awang Murshid; penulis kegemaran saya, dalam novel trilogi Semangat Hutan berlegar-legar dalam kepala saya.
Keningau! Keningau! Keningau!
Saya terbayang hutan. Lori balak. Jalan Tambunan yang berbengkang-bengkok.
Keningau! Keningau! Keningau!
"Cikgu Nur Shahida dan Cikgu Noor Azizah."
Saya bangun, berjalan ke depan dengan penuh debaran. Perlahan-lahan, saya tarik surat keluar daripada sampul.
'.... SMK Apin-Apin, Keningau.'
Yeay!
Dan, setahun berlalu. Saya masih di sini. Tapi entah kenapa semangat saya semakin luntur.
'Anak-anak bangsa perlukan kita. Sebagai pendidik kita kena tunjukkan contoh dan teladan yang baik'
Baik! Baik!
****
Lima belas tahun yang lalu, umur saya 10 tahun. Tiba-tiba saya dikejutkan dari mimpi yang panjang.
"Kak Long! Bangun! Lewat dah nak ke sekolah!"
Saya terpisat-pisat. Mata digonyoh. Dengan langkah longlai saya masuk ke bilik air. Mandi. Bersiap. Saya pandang jam.
Hah! 8.30 pagi? Biar betul? Kenapa ummi tidak kejutkan? Eh, tadi suara papa yang kejutkan.
"Ummi masuk hospital malam tadi masa semua orang tidur."
Ooo... faham-faham.
Petang, balik dari sekolah. Saya tunggu papa pulang. Wani sekolah petang. Irfan juga menunggu papa.
Kemudian, papa muncul dengan basikal tua To'Che sambil tersenyum.
*sampai sekarang saya percaya papa ke hospital dengan basikal tua itu walaupun sebenarnya papa ambil di depan rumah To'Che lepas itu pura-pura baru pulang*
"Adik perempuan..."
Yeay! Tapi, Irfan mencebik. Dia mahu adik lelaki. Hehehe... Merajuk dia. Tapi, akhirnya nama adik itu, dia yang bagi.
Nur Syafiqah Diana katanya. Okey, ummi dan papa kata. Tapi Diana dibuang. Nur Syafiqah.
Si bongsu kesayangan semua. Penyeri rumah kami. Pengikat kasih sayang antara kami. Yang nakal, yang degil, yang manja. Semua dia.
Bila dia tiada, rumah terasa kosong. Kalau dia ada... diam boleh tak? Hahaha...
Bapa saudara, mak saudara kata dia macam Misha Omar. Kadang-kadang macam Nasha Aziz pun ada. Kembang hidung dia. Perasan! Tapi, antara kami tiga beradik perempuan, memang dia yang paling cantik.
Paling tinggi, paling tegap, hidung mancung, tahi lalat tepi bibir. Bentuk mukanya yang bujur sireh. Rambut hitam lebat panjang mengurai. Kalau dia balik ke kampung di Pasir Mas, mesti ada yang minta nombor telefon. Risau risau...
Syafiqah,
Tahun ini Iqah nak PMR. Dengarlah cakap kak long. Belajarlah elok-elok. Ikutlah cakap ummi dan papa. Buatlah ummi dan papa gembira. Jadilah anak dan adik yang boleh dibanggakan.
Kak Long rindu mahu usik-usik Iqah. Usik-usik yang hanya kita berdua saja tahu. Iqah akan menjerit marah. Lepas itu, dengan geram tanpa sedar Iqah akan gigit Kak Long, atau tampar Kak Long. Atau sekurang-kurangnya, pukul Kak Long. Iqah tersentak dengan perbuatan sendiri, tapi tetap membela diri.
"Padan muka! Siapa suruh kacau," dengan nada bersalah tapi muka kawal rasa bersalah.
Kadang-kadang Kak Long sengih-sengih. Kalau sakit sangat Iqah pukul, Kak Long marah Iqah balik.
Kak Long pernah tampar Iqah. Kak Long pernah cubit Iqah. Kak Long pernah buat macam-macam yang menyakitkan Iqah. Tapi, Kak Long buat semua itu sebab mahu mengajar Iqah. Kak Long mahu Iqah tahu bagaimana sakitnya hati kalau Iqah buat perangai. Iqah tahu, akhirnya Kak Long juga akan pujuk Iqah. Bergurau dengan Iqah, sebab Kak Long tidak mahu Iqah berdendam dengan Kak Long.
Pernah Iqah keras hati, tidak mahu berbaik dengan Kak Long. Tapi, Kak Long tahu Iqah sekadar ego. Dalam diam, Iqah pandang Kak Long. Kak Long usik lagi, Iqah mencebik. Kak Long usik lagi. Iqah senyum. Usik lagi. Iqah gelak. Dan kita berbaik semula. Bergaduh lagi. Berbaik lagi... begitulah kita.
Paling menyentuh perasaan Kak Long apabila Iqah hantar SMS kepada Kak Long meluahkan perasaan tentang apa yang berlaku di rumah. Kak Long hairan sebab Iqah terus hantar dan menghantar. Selalunya Iqah keras hati. Kak Long jadi tidak sedap hati. Lalu, Kak Long telefon.
Iqah menangis rupanya.
Kasihan adik Kak Long. Terpaksa hadapi semuanya seorang diri. Selalu Kak Long ada. Tapi... *okey, saya sedang kesedihan sekarang*.
Jadi, buat adik kesayangan Kak Long yang Kak Long rindu dan sayang dan ingat dan kenang selalu...
SELAMAT ULANGTAHUN KE 15
BUAT
NUR SYAFIQAH BT MOHAMAD YUSOFF
SEMOGA TERUS MEMBESAR MENJADI MANUSIA YANG BERGUNA DAN BOLEH KAMI SEMUA BANGGAKAN.
KAK LONG SAYANG IQAH.
MMUUUAAAH!
MMUUUAAAH!
Salam.
Peace.
Peace.


2 comments:
Awwwww....this is sooooo sweet...ida, i rase this's the best post ever!! Happy birthday IQAH!!
thanks! :D
Post a Comment