Minggu kedua persekolahan tahun ini berjalan dengan jayanya tanpa sebarang masalah yang membebankan. Jika minggu lepas, saya sibuk menguruskan orientasi tingkatan 1, untuk minggu kedua ini saya sibuk menjalankan sesi temuduga dan pemilihan untuk memenuhi jawatan Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah (PRSS). Agak memenatkan untuk melakukan sesi soal jawab dengan para pelajar yang berminat untuk menjadi pembimbing rakan-rakan mereka. Macam-macam soalan yang saya tanya, tapi tidaklah macam-macam jawapan yang saya terima.
Kebanyakan pelajar yang memohon adalah pelajar tingkatan 4 dan ramai dari meraka datang dari kelas 4Progresif. Ada lah 2-3 orang datang kelas lain. Manakala untuk pelajar tingkatan 5, permohonan adalah tidak menggalakkan. Kebanyakan yang memohon adalah daripada bekas pelajar-pelahar bermasalah yang ingin mengubah diri dan nasib mereka. Yang paling mengecewakan, susah mahu lihat spesies lelaki! Sudah lah PRS lelaki yang ada cuma beberapa kerat saja. Nelson dan Firdaus pun tiba-tiba dilantik sebagai pengawas pusat sumber. Alahai, ustaz pun tidak tahu. Saya pun tidak tahu yang mereka pohon jawatan tersebut. Jadi, sekarang ni mereka harus pilih antara PRS dan Pengawas Pusat Sumber.
Berkenaan dengan bekas pelajar-pelajar yang bermasalah. Mereka ini pernah menjadi bualan hangat di kalangan para pelajar dan guru-guru kerana masalah yang mereka hadapi. Kebanyakan masalah mereka berkaitan dengan masalah disiplin. Ada yang pernah diberi amaran terakhir.
Masalah yang saya hadapi di sini... hmmm, sepatutnya bukan masalah tetapi inilah cabaran dan peranan yang perlu saya hadapi dengan tabah dan cekal *cewah*.. Cabaran yang perlu saya hadapi adalah pandangan daripada rakan-rakan sekerja sekiranya saya melantik mereka sebagai PRS. Sepanjang pengamatan saya dan ketika sesi temuduga berlangsung, saya dapat lihat perubahan dan kesungguhan mereka untuk menjadi pelajar yang berbeza yang pernah mereka lalui dulu. Terutamanya Out Lee Ling dan Jeanella. Untuk Pricilla, dia tiada masalah untuk menjadi seorang PRS, cuma mungkin saya pernah mengajar dia dan agak rapat dengan dia, maka dia menganggap segala-galanya lewah bagi dia di depan saya.
Apa-apa pun, saya harus membuat keputusan yang telus, adil serta bijak sana. Walau apapun keputusan yang saya lakukan, saya lakukan untuk organisasi PRS itu sendiri bukan untuk kepuasan dan kepentingan orang lain. Mungkin betul mereka sudah berubah dan mahu berubah kepada yang lebih baik daripada dulu. Lagi pula, yang lepas sudah lepas. Semoga sejarah tidak berulang lagi.
Untuk urusan temuduga dan pemilihan PRS, silap saya kerana meminta terlalu banyak pendapat sehinggakan saya sendiri tidak tetap dengan keputusan yang ingin saya tentukan. Banyak sangat kata-kata luar yang kadang-kala mempengaruhi keputusan yang ingin saya lakukan. Namun, dalam banyak-banyak pendapat saya paling bersetuju dengan pendapat yang menyatakan, andai ditolak permohonan mereka yang benar-benar ingin berubah, berkemungkinan mereka akan kembali kepada sikap asal atau menjadi lebih teruk. Ini kerana mereka akan berasa rendah diri dan seolah-olah tiada sokongan yang mereka dapat samada daripada pihak sekolah, di rumah mahupun rakan-rakan. Mereka merasakan hidup mereka tidak berguna jika apa saja yang mereka lakukan tidak mendapat sokongan apatah lagi pujian.
Saya belum membuat sebarang keputusan yang muktamad untuk memilih siapa yang patut dilantik sebagai PRS. Mungkin sudah ada siapa yang akan dilantik cuma belum betul-betul pasti lagi.
Oh ya, apabila disuruh ceritakan tentang diri sendiri, secara dasarnya kita akan bercerita tentang nama, tempat tinggal, hobi, cita-cita *untuk pelajar sekolah sekurang-kurangnya*, kan? Atau kepada yang lebih petah, akan bercerita tentang keluarga, sekolah, ciri-ciri yang perlu diketahui, mungkin. Kan?
Namun begitu ketika sesi temuduga itu, ketika soalan atau pernyataan itu ditujukan.. rata-rata daripada mereka akan menyoal saya kembali sambil tersenyum-senyum.
"Cerita apa cikgu?"
"Apa yang perlu diceritakan, cikgu?"
Aduh! Jawapan untuk soalan semudah itu pun susah untuk dijawap, apatah lagi soalan yang lain. Dari segi komunikasi, saya tetap menilainya. Walau baik manapun pelajar tersebut, andai kata komunikasinya teruk. Mahu menjawap soalan yang senang sahaja mengambil masa lebih daripada 1 minit... Adeh!
Hmm.. minggu depan keputusan akan ditentukan. Nanti saya akan senaraikan nama PRS 2009 yang sedia ada dan yang berjaya menjawat jawatan ini.
Tadi, saya bertemu dengan pengetua untuk meminta tunjuk ajar tentang Buku Rekod Guru Bimbingan dan Kaunseling. Saya sudah tulis namun, masih banyak yang saya tidak pasti. Lagipula... biarkan. Saya ingatkan hanya mahu serahkan buku rekod sahaja, tetapi pengetua mahu berbincang sesuatu dengan saya. Kalau boleh dan sejujurnya dia ingin paksa kalaupun saya tidak mahu, untuk saya belajar tentang pengurusan unit bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah di Tenom. Katanya, sekolah isterinya. Huh...
Di sana nanti, saya akan tinggal bersama kaunselor sekolah tersebut yang juga baru posting tahun lepas namun membawa banyak perubahan dan pembangunan untuk sekolah tersebut selama seminggu. Jadi, apabila saya di sana nanti beliau berharap saya dapat mempelajari apa-apa yang berfaedah untuk kepentingan SMK Apin-Apin. Saya juga berharap begitu, menjadi yang terbaik dan melakukan yang terbaik. Maka, saya kata saya tidak kisah. Lagipun seminggu saja. Dengan guru yang posting tahun lepas juga. Guru semenanjung juga. Jadi, saya harap dan rasanya tiada masalah.
SMK Apin-Apin telah terpilih untuk menjadi pengelola bagi Kejohanan Larian Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat MSSD-Keningau 2009. Atau dulu lebih dikenali sebagai Merentas Desa. Pendaftaran kejohanan tersebut akan bermula pada jam 7 pagi esok di perkarangan meletak kereta SMK Apin-Apin. Saya ditugaskan sebagai pendaftar. Sekarang sudah jam 0018.. eh, esok apanya..pagi nanti. Saya harus tidur sekarang. Jumpa lagi.
Salam.
Peace.


No comments:
Post a Comment