Syukur ke hadrat Illahi, hari ini berjaya dilalui dengan jaya dan tabah. Meskipun, dua hari yang lalu saya asyik balik lambat..err.. pulang macam biasa, tapi selepas solat Zohor, keluar semula atas beberapa urusan, makanya kembali ke rumah lewat petang. Kalau saya terus bekerja sampai petang pun, sama saja. Akibat daripada pulang lewat petang, saya sering tertidur selepas Maghrib dan terjaga dalam pukul 10 lebih. Ehm, kalau tidak kerana kerja yang perlu disiapkan *azam tahun baru, tidak mahu malas-malas dan tangguh-tangguh kerja lagi*, saya sambung saja aktiviti lelap mata.
Hari ini, saya pulang macam biasa. Namun, malangnya terlelap dari tengahari sampai ke Maghrib! Adoi! Solat entah ke mana. Letih punya pasal. Hmfph... dan kerja masih ada yang perlu dilakukan.. Yaou! Help me!
Baiklah, cerita hari ini...
Perjumpaan pertama PRS setelah saya menyuruh Masnih mengagihkan surat pelantikan dan akujanji kepada pelajar-pelajar yang berjaya.
Saya tahu ramai yang kecewa apabila gagal menjawat jawatan PRS. Terus-terang saya katakan, ramai yang ada potensi untuk menjadi yang terbaik. Tetapi, kerana tempat yang terhad dalam organisasi ini, maka saya terpaksa mengecewakan mereka. Cikgu benar-benar pohon maaf secara peribadi sekiranya ada pelajar yang tidak berpuas hati dengan keputusan cikgu. Percayalah, walaupun kamu tidak dilantik menjadi PRS, tidak bermakna kamu gagal dalam temuduga. Mungkin ada sesuatu yang lebih menarik menanti kalian.
Dalam perjumpaan ini, lebih kurang 10 orang tidak menghadirkan diri. Aih! Baru perjumpaan pertama sudah tidak hadir. Macam mana nak beri komitmen? Kecuali yang secara personal datang berjumpa dengan saya menyatakan sebab tidak dapat hadir. Yalah, perjumpaan diadakan selepas waktu sekolah. Ramai yang mahu kejar bas, ada tanggungjawab lain. ehm.. Asal jumpa dan beritahu cikgu, itu cikgu boleh terima. Yang tidak jumpa cikgu, apa alasan kamu?
Pelantikan ahli jawatankuasa tidak dapat dijalankan memandangkan tidak cukup ahli. Sebenarnya saya dalam perancangan mahu melantik Nelson atau Firdaus sebagai Pengerusi, tapi batang hidung mereka pun tidak nampak. Walau bagaimanapun, keputusan terletak pada tangan ahli itu sendiri. Saya sekadar mencadang..kalau bolehlah.. ke tak boleh? Eh?
Mengantuk sangat pagi tadi, sampaikan saya tertidur dalam bilik UBK. Masa mengajar tadi pun rasa macam entah apa-apa. Padahal lajur baris saja. Haiya!
Semalam, saya mengikut Kak Aimah ke rumah pelajar yang tidak hadir ke sekolah. Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu. Sedih, pilu, sayu, tergamam... Saya kaku.
Bayangkan, 4 budak lelaki berusia 12 dan 15 tahun tinggal di dalam sebuah rumah yang sama besar dengan bilik saya. Rumah! Bukan bilik! Di situlah tempat makan, situlah tempat tidur, buat kerja sekolah. Semua di situ! Masak sendiri dan sewaktu saya sampai salah seorang daripada mereka sedang berselera makan nasi kosong bersama kuah maggi. Entahlah, tidak tergambar perasaan saya waktu itu.
Atas lantai yang tidak beralas itulah mereka duduk bersila di hadapan saya. Dengan selerakan bahan-bahan untuk memasak. Tanpa elektrik, tanpa air. Buku-buku yang disusun di atas papan di tepi dinding. Tilam yang nipis, buruk. Satu selimut untuk 4 orang... saya tahan air mata saja. Yang lagi menyedihkan saya semasa kami bertanyakan tentang duit perbelanjaan. Untuk seminggu, ibubapa cuma berikan sebanyak RM2 sahaja. Atau paling banyak RM5...
Sudahlah.. tak larat saya nak bercerita. Sedih, tak tertahan.
Jumpa lain hari.
Salam.


No comments:
Post a Comment