13 September 2008. Lebih kurang jam 7.45 pagi, sewaktu saya di sekolah untuk menghadiri kursus dalaman dan mesyuarat sekolah, saya menerima panggilan telefon daripada umi. Saya sedikit terkejut kerana umi tidak pernah menelefon seawal itu. Katanya, ada berita buruk dan apabila saya bertanya kembali, umi tiba-tiba menangis teresak-esak. Dalam tangisannya, umi memberitahu sesuatu yang tidak jelas di telinga saya. Namun, saya seperti dapat mengagak. Umi bertanya, adakah saya dapat pulang? Mana mungkin! Jauh, dan memerlukan belanja yang tinggi. Ya, mungkin saya boleh saja pulang dengan wang yang ada. Tapi… yang mampu saya katakan, nak buat macam mana, memang tak dapat… diiringi air mata. Ketika kursus, air mata tidak berhenti-henti mengalir. Walau saya cuba sembunyikan, masih ada yang menyedari. Terima kasih atas kata semangat.
Tengahari itu, saya keletihan dan tertidur bersama linangan air mata di pipi. Apabila saya bangun, saya berharap linangan tersebut hanyalah kerana mimpi ngeri yang tidak pernah saya impikan. Namun, harapan tetap harapan. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya mendapat pesanan ringkas yang berbunyi, “Sudah dikafankan, sekarang sedang disembahyangkan”. Sekali lagi, kolam mata saya bertakung dan mengalir lesu di pipi.
Kalau diikutkan, memang seharusnya kami semua dapat menduga akan pemergiannya itu. Daripada dibiarkan dia terseksa menanggung kesakitan yang tidak pernah hilang, biarlah kami redha dengan takdir yang Maha Kuasa. Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa, tidak sunyi daripada perasaan sayu dan syahdu mengenangkan insan yang kita kenali dan sayangi pergi buat selama-lamanya. Lebih-lebih lagi, belum pernah kita menghadapi peristiwa sedih ini.
Dulu…
Apabila Aidilfitri kian menjelang, dialah orang yang paling sibuk di rumah Mok. Menjelang pagi syawal, pasti dia akan memanggil saya dan adik-adik untuk menolongnya mengemas rumah Mok. Menvakum, menyapu, menyusun perabot dan sebagainya. Yang selalu menjadi mangsa adalah kami adik-beradik kerana dia tidak punya tenaga yang kuat untuk melakukannya seorang diri. Dengan ketidak ikhlasan, kami menurut. Masakan mahu ikhlas kalau rumah sendiri macam tongkang pecah, tunggang terbalik. Takkan mahu kemas rumah orang lain dulu.. Tapi kami lakukan juga kerana hormat kami terhadap dia.
Dia mengajar saya bagaimana mahu menjadi seorang suri rumah. Cara-cara melipat baju dengan betul, berkongsi resepi yang tidak seberapa dengan saya.. ah! Tahun ni kami tidak lagi dapat merasa soto istimewa dia. Err, tidaklah istimewa sangat, tapi oleh kerana dialah satu-satunya yang rajin membuat masakan soto, maka itu dianggap istimewa. Atau lontong, atau rendang… kami pasti merindui..
Kalau ada kain baju yang dia tidak padan lagi, tapi masih elok dan menarik untuk dipakai, orang pertama yang dia cari adalah saya. Mesti dia memuji-muji, katanya saya sangat sesuai pakai baju yang dia sayang mahu buang. Dia kata saya akan kelihatan cantik kalau saya pakai baju kesayangan dia. Banyak sudah dalam almari. Bukan saya tidak mahu pakai, tapi hakikatnya, dengan saya pun tak padan. Tapi, selalunya saya diamkan dan mengiyakan kata-katanya kerana tidak mahu dia berkecil hati. Orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa.
Saya sering merungut apabila dia menyuruh saya menjaga anak-anaknya seandainya dia mahu keluar. Bukan perlu jaga apa pun, sekadar tengok-tengokkan anaknya yang sedang tidur di dalam bilik, takut-takut terjaga dan mencari di mana dia. Tapi, saya sebenarnya suka sebab ada peluang untuk saya menonton siaran Astro. Lagi pula, kalau saya menjaga anak-anaknya, pasti ada buah tangan yang menyusul dan selalunya dalam bentuk makanan. Kejikan saya?
Kali terakhir saya menemuinya, sewaktu saya pulang untuk majlis konvokesyen saya bulan Mei yang lalu. Sebelum berangkat, saya bertemu dengan dia. Melihat keadaannya, hati saya jadi sayu. Saya takut untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya sekadar duduk di sisinya dan memberitahu yang saya akan berangkat pulang ke Sabah. Seperti biasa, saya akan menyalami tangannya yang dulu gebu kini tidak lagi. Tidak semena-mena dia menarik saya ke dalam dakapannya. Terkedu saya buat seketika. Erat sekali pelukan dia dan masih dapat saya rasakan hingga kini. Perlahan-lahan saya membalas pelukannya dan tanpa saya sedari setitik mutiara jernih bertakung di pinggir kelopak mata.
Sekarang…
Aidilfitri hampir tiba. Sudah pasti bukan dia lagi yang akan sibuk menguruskan rumah Mok. Pasti juga, rumah Mok akan hilang seri Aidilfitrinya nanti. Tetamu yang hadir mungkin sekadar menziarah menghulurkan takziah. Tiada lagi aktiviti makan-makan yang semeriah dulu. Tiada lagi aktiviti bergambar seriuh dulu. Pasti tiada serinya lagi. Saya tidak tahu bagaimana saya akan menghadapi hari tersebut. Saya tidak tahu apa reaksi saya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke halaman rumah nanti. Adakah saya seperti biasa atau saya akan kesedihan seperti sekarang? Insan yang pernah menghuni rumah tersebut sudah tiada dan saya sudah tidak punya peluang untuk melawatnya bertanyakan keadaannya seperti selalu.
Sudah pasti saya akan ingat ajarannya tentang melipat baju dengan betul dan kemas. Saya sering tidak menghiraukan cara melipat baju namun dengan pertolongan dari dia, saya tahu bagaimana mahu menjadikan almari saya kelihatan kemas. Saya tentu akan ingat setiap kata-kata yang keluar dari bibirnya. Kerana dia, saya berusaha untuk menjadi seorang guru yang terbaik. Saya masih ingat lagi kata-kata dari dia.
“Sejak Mak Su Za masuk sekolah tu, pencapaian Bahasa Inggeris pelajar-pelajarnya meningkat”
Mungkin bunyinya agak angkuh, namun bagi saya ia ibarat pendorong semangat supaya saya boleh sebutkan kata-kata yang sama. Dengan erti kata lain, saya juga mahukan yang terbaik dan sesuatu yang boleh dibanggakan dalam hidup saya.
Ah! Terlalu banyak sebenarnya yang boleh saya nyatakan di sini mengenai dia. Terkilan rasanya tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir dan mencium dahinya buat kali pertama jua terakhir. Tapi, saya tahu saya harus redha. Lagipun, bukan saya seorang yang terkilan dengan pemergiaannya. Kasihan Hajar, saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak tentang pemergian Maksu kesayangan dia. Mungkin Abi dia sudah memaklumkan, kerana Po’Me :: Abi Hajar juga pasti terkilan tidak dapat menatap adik bongsunya itu lantaran berada jauh di Dubai. Nasib baik juga, Hajar sempat melawat sebelum dia berangkat ke Jordan.
Hajar, kalau ditakdirkan kau masih tidak mengetahui dan terbaca entri aku yang ini… Sabarlah. Sama-samalah kita menghadiahkan al-Fatihah dan Yassin kepada dia. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Kau pernah melihat keadaannya dan aku pasti kau redha dan merelakan pemergiaannya. Kita semua sayangkan dia dan kita semua pasti terkilan kerana Aidilfitri tahun ini mungkin tidak semeriah dulu lagi. Aku pun bingung memikirkan, apakah yang akan aku rasai sebaik sahaja aku pulang ke kampung dan melangkah masuk ke dalam rumah besar itu. Rumah tempat dia pernah berlindung, kini pasti sunyi. Po’ Su pasti membawa anak-anaknya balik ke kampung dia. Aku bingung, sedih dan pilu, Hajar. Alangkah baik kalau kau dapat pulang berhari raya bersama dengan aku. Boleh kita sama-sama menangis, mengenang kembali memori bersama dia.
Kau tahu, Jar. Satu-satu perkara yang masih segar dalam ingatan aku tentang kau dan dia. Dia sering menyiapkan sarapan untuk kau sewaktu kau bersekolah rendah di Kelantan, kalau tak silap kau darjah 2 waktu itu. Ya, aku masih ingat sebab aku cemburukan kau. Aku inginkan sarapan yang sama, tapi kau bertuah sebab tinggal sebumbung dengan dia, sedangkan umi aku tidak menyediakan sarapan seperti kau. Bodoh kan? Tapi, secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa, aku belajar membuat sarapan tersebut. Dan ianya cuma scramble eggs!
Dialah ibu saudara saya. Adik bongsu papa saya. Allahyarhamah Ruzaini binti Ibrahim.
Mo’SuZa… Kami pasti akan merinduimu. Senyummu. Gelak tawamu. Mo’SuZa yang blur… yang sering dijadikan bahan ketawa oleh kakak dan abang-abangmu. Kami, anak-anak saudara menjadi rakanmu, teman bicaramu.
Mo’SuZa, orang simpan lagi baju-baju yang Mo’SuZa bagi. Kasut yang hari tu pun ada lagi, elok lagi. Tapi, gelang yang orang beli untuk Mo’SuZa, orang nak bagi kat siapa? Orang sengaja belikan gelang, sebab orang nak Mo’SuZa sembuh. Biarpun umi kata tak sesuai, Hajar kata tak sesuai belikan gelang. Umi suruh belikan kain batik. Tapi orang tak mahu, sebab kalau beli kain batik, macam…Tak sangka, Mo’SuZa akan meninggalkan kami juga.
Ya Allah, tempatkan dia di kalangan mereka yang Kau kasihi. Rahmatilah rohnya dan sesungguhnya Kau Maha Pengasih dan Penyayang.


2 comments:
takziah ida. al-fatihah. semoga roh arwah dicucuri rahmat. Amin.
Takziah....
Auwww...sebak jgk i bace entry kali ni...pms sama...huhu
Nways, i raye in PJ this yr...u turun la KL pls....
Post a Comment