31 October 2008

Hidup ini singkat.


Assalamualaikum w.b.t.

Sekembalinya saya dari kem di Malangang, saya cuma sempat berehat selama 3 hari sebelum menyambung tugasan saya sebagai guru. Sebelum saya meninggalkan Keningau untuk ke Malangang, Cikgu Kharazil menyuruh saya membuat soalan Geografi Tingkatan 4 Kertas 1. Pada awalnya memanglah saya menolak sebab saya ke Kiulu selama seminggu dari 20-24 Oktober dan saya tak rasa yang saya sempat buat semua itu walau sekembalinya saya dari Kiulu. 

Tapi, saya akhirnya menurut perintah. 

Jadi, setelah tiga hari berehat, saya bertungkus lumus menyiapkan kertas Geografi pada hari pertama sekolah untuk minggu ini iaitu pada hari Selasa. Ini kerana menurut apa yang saya tahu, kertas Geografi berlangsung pada hari Rabu. Sedangkan pula saya harus ke KK pada hari Rabu pula! Aduh! 

Bukan saya tidak mahu siapkan sewaktu berehat di hujung minggu selama 3 hari tersebut, tapi saya amat yakin yang saya telah tertinggal buku soalan di sekolah dan mahu ke sekolah pada hujung minggu dan cuti umum Deepavali adalah sangat mustahil. Jadi, mahu atau tidak, saya kena siapkan semua dalam satu hari...eh, tak! Setengah hari sahaja. 7 a.m. - 1 p.m. 

Namun! 

Namun... saya adalah seorang yang terlalu yakin sampai tidak mahu memeriksa buat kali pertama pun! Pada pagi saya mahu bersiap-siap ke sekolah, saya terbuka beg yang saya letakkan di tepi meja sejak minggu lepas dan buku tu ada dalam beg sepanjang hujung minggu yang membosankan itu! Arrghhh!!!

Akibatnya, semasa menjaga peperiksaan saya menaip, balik ke bilik guru saya sambung menaip, lepas sarapan saya menaip... kemudian, cepat-cepat print, bagi buku untuk aunty Mathilda fotostat gambar rajah yang berkenaan... saya gunting dan tampal... bagi pada KP untuk semakan. Kembali kepada aunty Mathilda untuk difotokopi... Alih-alih saya mendapat pengesahan, kertas 1 Geografi tingkatan 4 adalah pada hari Khamis!

Sia panat bah! Kajang lutut sia!

Tapi sekurang-kurangnya dapatlah saya berehat sekejap. Memanglah kerja dah hampir siap. Walau begitu, buat kerja dalam keadaan yang sangat tertekan amat menyesakkan nafas. Padan muka sia!

Apabila dah bagi kertas kepada aunty Mathilda, saya pun duduk berehat sambil berbual. Sampai waktu balik.

Keesokan harinya, seawal lebih kurang 7.00 pagi, saya, Cikgu Ken dan Cikgu Asrul bersama 36 orang pelajar bertolak ke KK untuk program Lawatan Keilmuan atau dengan bahasa biasa lawatan sambil belajar. Ada 3 tempat yang kami kunjungi iaitu Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Muzium Negeri Sabah. 

LOK KAWI WILDLIFE PARK
Taman Hidupan Liar Lok Kawi

Biasalah kalau dah namanya Taman Hidupan Liar, sudah tentu yang ada dalam premis ini adalah hidupan-hidupan yang liar seperti burung, reptilia, rusa, kancil, kuda belang, harimau, beruang madu, orang utan dan sebagainya. Dalam banyak-banyak binatang, binatang di bawah ni yang paling saya suka. Comel sangat! Kecil dan bulat! Di bawah kategori primat. 

Ya! Nama binatang ini adalah KONG KANG! Atau dalam bahasa omputih adalah Slow Loris... I wonder... (tengah tidur semua tu)

Selesai melawat binatang-binatang yang pada kebanyakan pelajar Apin-Apin adalah perkara biasa... 

"Papa sia biasa buru tu cigu!"

... kami meneruskan perjalanan ke UMS. Pada awalnya, kami bercadang untuk melawat akuarium milik Sekolah Biologi Marin (ek?), tetapi rupa-rupanya Cikgu Ken tersalah info. Akuarium ditutup! Jadi, kami bergerak ke Canselori pula. 

Sebelum masuk ke UMS, saya telah menghantar mesej kepada Nurie menyatakan kehadiran saya ke sana. Setelah berbincang serba sedikit melalui SMS, akhirnya Nurie bersetuju untuk bertemu dengan saya buat kali kedua di depan Canselori. Nurie turut mengajak Marea, kenalan baru kami di Kapasitor. 

Puas saya menunggu, namun bayang Nurie dan Marea langsung tidak kelihatan. Saya tidak masuk ke galeri kerana ingin menanti Nurie dan Marea. Beberapa minit berlalu, para pelajar mulai keluar dari galeri di Canselori. Aduh! Mana Nurie ni?

Baru saya mendapat panggilan daripada Nurie, tiba-tiba talian terputus. Aiyark!! Bateri mati! Saya berusaha menghidupkan telefon untuk menghantar SMS kepada Nurie bahawasanya saya sudah mahu bergerak keluar. Tapi, bila telefon dah on, ada panggilan masuk dan bateri terus mati.. 

Nurie dan Marea:: Maaf bebanyak! Kalau nak tahu apa yang jadi kepada mereka, sila baca ini

Kami meneruskan perjalanan ke Muzium Sabah. Tak mahu cerita banyak, kami terus ke Perkampungan Budaya. Ada pelbagai rumah-rumah suku kaum yang terdapat di Sabah ini dan kami turut terlibat dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak muzium termasuk melastik botol, memancing (saya menyerah kalah! Malas nak tunggu ikan!) dan menyumpit juga satu permainan yang terdapat dalam Rumah Murut. Saya lupa apa namanya tapi cara mainnya adalah lompat-lompat di atas satu pelantar buluh yang fleksibel. Budak-budak ni sangat handal 
melastik, memancing dan juga menyumpit! Mereka sangat seronok main lompat-lompat tu. 

Lebih daripada sejam kami di Kampung Budaya sebelum masuk ke dalam muzium. Ehm... malaslah nak cerita pasal muzium ni. Nak tahu datang sendiri. Yang boleh saya cerita, ada rangka ikan paus yang pernah terdampar di perairan negeri Sabah 2 tahun lepas. Besarlah juga. Gambar? Tiada atas dua sebab. Telefon saya mati, ingat? Saya cuma bergantung kepada kamera dari telefon bimbit antik saya itu. Sebab kedua, memang tak boleh bawa kamera masuk dalam muzium. 

Akhirnya, pada jam 5 petang baru kami bertolak pulang ke Keningau. Sepanjang perjalanan, saya berjaya melelapkan diri tanpa mempedulikan kebisingan pelajar. Lantaklah korang! Saya dah penat, mahu rehat. 

Lebih kurang pukul 8.15 malam baru saya sampai di rumah, tengok cerita Cinta Batu Belah dan saya terus blah ke atas katil... sampai paginya, bersiap terus ke sekolah. 

Di sekolah, baru saya teringat sesuatu. Kertas Geografi tak susun lagi! Hampeh betul! Nasib baik kertas Geografi bermula pada pukul 11.35 a.m. Sebaik sahaja aunty Mathilda buka ofis dia, saya serbu dengan muka tersengih.. ya, aunty! Saya lagi! Hehehehe...

Saya kepilkan sekali borang PLBS tingkatan 1 yangs sepatutnya saya isi sebelum ini lagi. Alamatnya, saya kena isi borang setebal (72 helai x 4 ) dalam masa seminggu. Kira sendirilah!

Selesai di fotokopi, saya bertungkus lumus menstaple dengan bantuan Kak Ida. Terima kasih kak! Dan kami bersarapan di kantin..lapar dowh! Seterusnya saya menjaga peperiksaan dari pukul 10.30 sehingga 11.45 pg. Jam 12 ada mesyuarat Ko. Tamat pukul 2 lebih.. pulang!

Dan hari ini, saya sepatutnya minta cuti rehat. Tapi tak jadi sebab saya tak sanggup nak tinggalkan kerja yang menimbun. Lagipula, semalam (30 Okt) saya mendapat satu surat daripada PPG supaya menghantar borang maklumat Sistem Bimbingan Taulan sebelum pukul 5 petang 29 Okt. Surat bertarikh 28 Okt. dan saya pasti surat tu sampai di sekolah pada sebelah petang memandangkan sepanjang pagi saya berada di sekolah, tak ada pun kerani datang memberi surat berkenaan. Macam mana tu? Semalam baru saya mendapatnya kerana saya berada di KK pada 29 Okt. Hampeh! Dahlah saya tak tahu apa-apa pasal SBT ni. Semua gara-gara jawatan KP yang saya pegang. Saya tak mahu jadi KP dah! Tahun depan saya letak jawatan serta merta sebagai KP! 

Saya bercadang mahu cuti pada hari Isnin nanti, namun begitu ada saya terpaksa buat mesyuarat tergempar berkenaan SBT ni. Juga saya harus menguruskan beberapa perkara tentang Majlis Titipan Restu kepada pelajar yang akan menduduki SPM dibawah kelolaan UBK. Tugasan ini saya tidak kisah. 

Hari-hari seterusnya juga tidak dapat bercuti kerana sukantara 2009 akan diadakan tahun ini juga sebelum cuti bagi menjimatkan masa dan tidak mengganggu P&P tahun hadapan. Saya terfikir pula mahu cuti pada minggu terakhir memandangkan pelajar telah pun mulai bercuti berikutan penggunaan kelas sebagai dewan peperiksaan SPM. Malangnya, minggu tu juga pihak pentadbir mahu padatkan dengan kursus dalaman atau LADAP bermula 10-14 Nov. 

Tak sabar nak tunggu 15 Nov. Nak pulang!!! Nantikan kepulangan daku wahai keluarga tercinta.. dan.. eh? 

ps:: 

1.Waaa!! Nak kena semak kertas periksa budak-budak ni sebelum cuti juga! Aduh! Sempat ke nak kejar ni??? 
2. Lin sepupu yang sebaya sudah dirisik... Tak lama lagi lah tu.. ehm...
3. Kak Fiza cakap Kak Siti tanya pasal saya untuk adik ipar dia..huh?? 
4. Ummi cakap ada orang dekat rumah tanya pasal saya juga... dan huh lagi??
5. Saya dah hantar mesej dari kelmarin lagi namun dia tak balas sampai hari ni..adakah??? huh dan huh dan huh lagi???
6. Adakah saya kena fikir semula pasal perkara 3 dan 4 kerana perkara 5? 
7. Perkara 6 adalah sangat tidak relevan sebab dia sebenarnya tak ada kredit... hahahaha.. hampeh!


Peace!
Salam


0 kata pesan: