Assalamualaikum....
Pada jam 3.06 petang mengikut jam di sebelah kiri Cik Lappy saya dan saya masih berada di sekolah. Esok merupakan sambutan besar-besaran penyerahan bangunan baru SMK Apin-Apin. Jadi, banyak kerja yang harus disudahkan sebelum agenda besar esok. Kali ini saya bertindak sebagai pengacara majlis di samping guru pelatih Syapiei dan diketuai oleh Cikgu Jaidi. Walaupun saya harus akui 90% skrip pengacara adalah daripada Syapiei tapi saya berasa teruja untuk menjadi pengacara pada kali ini. Sebab? Sebab dalam dewan baru... Hehehe...
Saya pendekkan cerita. Kalau diikutkan hati, malas sudah saya mahu menulis menggunakan standard Bahasa Melayu. Kalau boleh saya mahu campur adukkan dengan bahasa pasar, bahasa Kelate, Bahasa Inggeris dan mungkin beberapa patah perkataan dialek Sabah/Dusun. Tetapi, mengenangkan saya adalah seorang guru Bahasa Inggeris yang mencintai Bahasa Melayu walaupun saya tidak mengajar kedua-dua bahasa, maka dengan ini saya akan teruskan memartabatkan bahasa ibunda saya. Mungkin sekali sekala saya akan menggunakan Bahasa Inggeris tetapi tidaklah bercampur gaul. Dan jarang sekali saya mungkin akan menggunakan dialek Kelate dan dialek Dusun/Sabah yang saya tahu.
Cukup sudah mukkadimah saya yang panjang melebar seperti biasa.
Saya menerima soalan daripada seseorang yang bergelar pelajar. Saya tidak tahu siapa dia kerana dia menggunakan nama samaran yang panjang lebar yang menerangkan siapa dirinya. MANAHALATUJUAKU? Itulah nama samaran yang diberikannya. Dan soalannya adalah yang berkaitan dengan namanya.
Salam...pa sbnrnya mkna seorg pljar?? apkah skdar utk bljr??
Tlg saya...sya xtaw n xtaw pa sbnrnya tjuan sya jd pljr n bljr..Huhu..
Itu soalannya dan ini jawapan saya.
Kalau dari segi istilah dan senang difahami, pelajar itu bermaksud seseorang yang belajar di sekolah, universiti, maktab dan mana-mana pusat pengajian. Senang difahami bukan? Tapi, saya tahu bukan itu yang kamu mahukan. Jujurnya, saya bukan orang yang banyak perkataan untuk mengambarkan idea yang terbuku di dalam kepala. Bagi saya, pelajar adalah golongan yang diamanahkan untuk menuntut ilmu, mencari dan menggunakan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Seorang pelajar sekolah diamanahkan untuk hadir ke sekolah bagi menimba ilmu supaya dia dapat menuju ke tempat yang lebih mulia dan tinggi nilainya seterusnya memberi perubahan kepada diri dan keluarga.
Itu pendapat saya tentang pelajar.
Adakah sekadar untuk belajar? Jawapan saya TIDAK. Pelajar bukan sekadar belajar tetapi mengambil kira semua perkara yang boleh dijadikan teladan dan sempadan di dalam hidup. Kalau dikatakan seorang pelajar adalah sekadar belajar, maka hidupnya boleh dikatakan seolah-olah tiada hala tuju yang khusus lantaran dia cuma datang ke sekolah untuk belajar. Kenapa kamu belajar? Mesti ada sebab kenapa kamu belajar.
Samada kamu belajar kerana disuruh untuk belajar, atau kamu belajar supaya memperoleh kejayaan dan mengubah kehidupan kamu. Itulah tujuan kamu belajar.
Saya mahu utarakan soalan senang. Kenapa kamu makan? Kerana kamu lapar, bukan? Perut kamu kosong dan minta diisi. Tapi ada ketika kamu makan kerana disuruh makan terutama sekali ketika kamu masih berusia di bawah 12 tahun. Ibu kamu pasti marah kalau kamu tidak makan. Sungguh-sungguh dia menyuruh kamu makan. Kamu hanya mahu bermain, tidak mahu makan. Tetapi bimbang dimarahi ibu lagi, maka kamu memaksa diri kamu untuk makan.
Pernah terjadi kepada diri kamu? Fikir dan cari semula kenangan itu. Pasti ada.
Begitu juga dengan belajar. Sebagai manusia, jiwa kita asalnya kosong tanpa sebarang ilmu. Kita dilahirkan tidak tahu apa itu 'mama' atau 'papa', tapi kerana kedua orang tua yang mengajar kita untuk selalu menyebutnya dan memberitahu kita dialah 'mama' dan 'papa' maka kita tahu apa maksud 'mama' dan 'papa'.
Ada masa, si ibu berusaha menyuruh si anak menyebut perkataan 'mama' namun yang terkeluar daripada mulutnya adalah 'baba'. Puas ibu mengulang, sampai kadang-kadang terdetik rasa ingin merajuk dengan si anak kerana tidak peduli dengan ajaran si ibu. Namun, dicuba dengan harapan perkataan 'mama' akan terpacul keluar dan di kala itu gembiranya si ibu bukan kepalang.
Itulah perasaan kami para guru. Tidak pernah terdetik di hati rasa putus asa untuk menyalurkan ilmu supaya suatu saat nanti kamu tahu apa yang dikatakan kehidupan dan ilmu pengetahuan. Meski terdetik juga sekali sekala rasa penat dan kecewa namun putus asa bukan kata penamat. Kami berusahan untuk kalian agar kalian menimba ilmu.
Untuk apa ilmu itu? Kalau ingin dijawab dengan ilmu juga, tentu ada diantara kamu, para pelajar yang tidak memahami apa yang ingin saya sampaikan. Terus terang, bagi saya belajar di sekolah itu bukanlah apa-apa. Segala jenis matapelajaran yang kamu perolehi di sekolah sebenarnya bukanlah apa-apa. Memang untuk menghadapi kehidupan, kamu tidak perlu lulus Bahasa Melayu, kamu tidak perlu cemerlang subjek Sejarah. Tidak. Itu semua tidak penting jika untuk memperolehi ilmu kehidupan. Namun, difikir-fikir logiknya, semua itu penting supaya kamu tahu apa itu kehidupan. Kamu perlu lulus dengan cemerlang Bahasa Melayu untuk mengetahui apakah maksud istilah 'hidup' dan kamu memerlukan A dalam subjek Sejarah untuk tahu apa yang pernah dihadapi dalam menjalani kehidupan. Kerana ini semua ILMU.
Senang bukan untuk difahami?
Tidak? Ehm...
Baiklah, kita berbalik kepada persoalan ManaHalaTujuAku. Untuk apa belajar?
Jawapan telus... kamu belajar supaya kamu pandai. Supaya kamu boleh menjawab soalan peperiksaan yang akan datang. Apabila kamu sudah dapat menjawab soalan peperiksaan, maka kamu akan memperolehi keputusan yang bagus malah mungkin cemerlang. Kemudian, setelah memperolehi keputusan yang bagus dan mungkin cemerlang, kamu akan mendapat tawaran ke institut pengajian tinggi. Kemudian, kamu belajar lagi supaya sekali lagi akan mendapat keputusan yang cemerlang. Setelah itu, kamu berjaya tamat belajar dengan cemerlang untuk mendapat pekerjaan yang bagus. Dengan pekerjaan yang bagus itu, kamu akan memperolehi pendapatan yang lumayan. Berbekalkan pendapatan kamu yang lumayan itu kamu akan mampu membeli apa saja yang kamu inginkan. Rumah banglo? Kereta mewah? Gajet-gajet terkini? Apa saja...
Saya tahu pasti ada yang bakal menjawab... bapa saya ada tanah berekar-ekar. Tujuh keturunan makan pun tidak habis. Ya ya... betul.
Kemudian, datang si tauke yang lagi bijak daripada kamu. Cuba memujuk kamu untuk menjual tanah pusaka dengan tawaran harta berjuta-juta. Tujuh keturunan makan pun tidak akan habis. Maka, kamu yang cuma ada ilmu jual beli, cuma punya ilmu kira duit terus mengangguk setuju berserta senyuman melebar lantaran bakal bergelar OKB. Orang Kaya Bahlo..opps...Orang Kaya Baru.
Beberapa tahun berlalu, tiga keturunan sudah makan hasil kebijaksanaan kamu yang tidak punya ilmu lain kecuali ilmu jual beli tanah dan ilmu kira duit. Lalu kamu toleh ke bekas tanah pusaka. Si tauke yang berhabis jutaan ringgit untuk membeli tanah kamu telah berjaya membina projek rumah kedai dan dibahagi-bahagikan hasilnya sama rata kepada anak cucunya. Kamu? Melopong kerana lagi empat keturunan, kamu tidak tahu apa nasib anak cucu kamu yang hanya menumpang duit kamu yang tidak seberapa itu.
Putar kembali.
Kamu punya tanah berekar-ekar hasil pusaka bapamu. Kamu juga punya ilmu hasil penat lelah usaha kamu sendiri. Bukan sekadar ilmu jual beli dan ilmu kira duit. Tetapi kamu juga punya ilmu menambah tanah yang cuma 10 ekar kepada 100 ekar. Kamu ada ilmu menjadikan tanah kosong kepada sesuatu yang memulangkan hasil. Kamu ada ilmu tentang perundangan bagaimana mahu mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan. Kamu punya segala ilmu yang boleh digunakan. Tatkala datang si tauke yang kononnya bijaksana lebih daripada kamu cuba memujuk untuk kamu menjual tanak pusaka tersebut, kamu tersenyum tenang dengan tawaran dia yang berjuta-juta itu. Lalu, dengan perlahan namun tegas kamu menyatakan
'Saya sudah ada rancangan yang pastinya hebat untuk tanah yang tidak seberapa ini. Lebih daripada tujuh keturunan akan terus menikmati hasil ini.'
Nampak bezanya? Saat kamu tidak punya cukup ilmu, fikiran kamu cuma satu. Walaupun begitu, apabila ilmu itu penuh di dada, banyak jalan yang boleh kamu usahakan. Jangan sesekali mempertikaikan ilmu kerana tertulis di azali ilmu itu mampu menyenangkan kamu dalam apa jua keadaan.
Jadi, ManaHalaTujuAku dan sesiapa juga yang membaca entri kali ini, ingatlah. Belajar itu tidak pernah rugi kerana sesungguhnya dalam hidup kita tidak pernah tidak belajar. Sampai mati pun kita akan tetap belajar.
Hanya apabila jasadmu terpisah dari tubuh maka kamu sudah berdepan dengan soalan-soalan kepada perjalanan hidupmu selama ini. Fikir-fikirkan.
Salam.
Peace.
Frank McCourt : Teacher Man
Instead of teaching, I told stories. Anything to keep them quiet and in their seats. They thought I was teaching. I thought I was teaching. I was learning. And you called yourself a teacher? I didn't call myself anything. I was more than a teacher. And less. In the high school classroom you are a drill sergeant, a rabbi, a shoulder to cry on, a disciplinarian, a singer, a low-lever scholar, a clerk, a referee, a clown, a counselor, a dress-code enforcer, a conductor, an apologist, a philosopher, a collaborator, a tap dancer, a politician, a therapist, a fool, a traffic cop, a priest, a mother-father-brother-sister-uncle-aunt, a bookkeeper, a critic, a psychologist, the last straw. - Frank McCourt: Teacher Man
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment