Assalamualaikum semua...
Sebelum saya teruskan cerita, suka untuk saya catatkan beberapa perkara yang sedang bermain di fikiran saya sekarang ini.
1. Lama berhenti senam robik, senaman pun langsung tidak buat... haiya!! Stamina sudah habis...
2. Sudah masuk bulan Julai. Kerja semakin banyak, kerja semakin umenuntut waktu dan kesabaran... kerja kerja kerja...
3. Puasa tidak terganti lagi...adeh!
4. Sila bergerak dengan pantas wahai Shahida!
Okey, mari kita bercerita.
Begini, hari ini saya bercerita tentang pelajar-pelajar Program Bimbingan Menulis dan Membaca (PROBIM) untuk pelajar tingkatan 1. Saya telah diamanahkan untuk sama-sama memantau para pelajar yang menghadapi masalah menulis dan membaca.
Pada hari pertama PROBIM dijalankan, saya mula memberi mereka pengenalan tentang huruf. Secara amnya, rata-rata mengenal huruf. Dari A sampai Z, tiada yang gagal menyebutnya dengan betul. Ada seorang pelajar lelaki yang kecil saja tubuhnya. Apabila saya menyuruh dia menyebut huruf A-Z, dia menyebutnya dengan lancar. Walaupun begitu, apa yang lucu, dia menyebutnya sambil menyanyi. Ala... menyanyi lagu ABC tu. Saya sangka dia sekadar main-main pada mulanya, jadi saya menyuruh dia menyebut semula 26 abjad tersebut. Sekali lagi dia menyanyi sambil tertunduk.
Apabila saya menyuruh mereka menyebut mana-mana huruf selepas huruf yang diberi, terus mereka mengambil masa yang agak lama untuk menyebut huruf seterusnya. *Teknik ini adalah salah untuk digunakan ke atas mereka kerana kalau bagi kepada orang dewasa sekali pun, akan mengambil masa paling panjang 3 saat untuk mengingati..adeh*
Apatah lagi apabila saya suruh mereka mengeja. Mula-mula saya agak sangsi dengan PROBIM ini kepada sesetengah pelajar. Dalam fikiran saya, betul kah calon pelajar yang dipilih? Bagaimana kalau mereka sebenarnya boleh membaca dan menulis, cuma kebetulan Ujian Diagnostik mereka tidak mencapai standard yang dikehendaki? Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang berfikiran begitu, penyelarasnya juga fikirkan hal yang sama. Jadi, kami bercadang untuk menempatkan mereka sebagai fasilitator kepada pelajar-pelajar yang benar-benar lemah sebelum mereka dikeluarkan daripada kelas PROBIM sedangkan mereka boleh belajar seperti biasa.
Namun, saya tengok mereka berseronok di sana. Dalam masa yang sama berlumba-lumba menunjukkan kehebatan diri mereka agar tidak digelar pelajar lemah. *Saya risaukan kesan psikologi kepada pelajar, tapi hendak buat macam mana, kalau itu yang terbaik buat mereka harap mereka faham.*
Kebanyakan guru-guru pun suka masuk mengajar mereka. Mulanya pada hemat saya kerana senang. Belajar menulis dan membaca perkataan yang ringkas dan mudah. Tetapi sebenarnya, memang seronok mengajar mereka. Majoriti para guru seronok dan berkongsi keseronokan tersebut.
Salah satu sebabnya kerana kita tahu pelajar tersebut agak lemah, tetapi apabila dia berjaya melepasi satu tahap yang kadang-kadang kita sendiri tidak sangka, cukup untuk membuktikan yang dia sebenarnya boleh berjaya dan kejayaan pelajar adalah emas permata buat seorang yang bergelar guru. Melihatkan pula perkembangan dia dari tahap pertama sehingga ke tahap yang seterusnya juga amat menyeronokkan. Mungkin itu yang dirasai oleh para ibu sewaktu melihat perkembangan tumbesar bayinya.
*saya menggunakan contoh ibu dan anak kerana guru dan pelajar ibarat mempunyai hubungan erat yang sebegitu*
Kemudian, saya tidak lagi masuk mengajar kerana kelas diambil alih oleh guru asal yang mengajar di kelas 1 Harmoni (1H ditukar sementara untuk kelas PROBIM). Sehinggalah semalam. Saya diminta oleh Cikgu Laimah untuk menjadi penilai Kemahiran Membaca.
Karangan pendek tiga perenggan. Saya rasa saya sudah boleh hafal. Sekejap ya...
Ghazali sekeluarga pulang ke kampung di Rantau Abang. Udara di kampung segar dan nyaman. Pada malam Rabu, Ghazali pergi ke pantai bersama Datuk. Datuk nyalakan lampu suluh. Di sana, dia melihat penyu bertelur. Dia khusyuk melihat penyu bertelur.
Ramai pelancong datang untuk melihat penyu bertelur. Datuk beri isyarat kepada Ghazali untuk pulang ke rumah. Datuk memimpin tangan Ghazali sambil menggenggam syiling. Dia berjalan sambil menyanyi. ...
Ada panjang lagi tapi saya ingat-ingat lupa...:D
Macam-macam yang dibaca oleh budak-budak ini. Ghazali = Gajali. Khat = Kahat. Menganga = Megaga. Yang tidak boleh membaca langsung pun ada. Diam sahaja sepanjang ujian berlangsung. Tidak tahu berapa markah yang perlu saya bagi. Yang boleh membaca laju pun ada... laju sampai langgar lampu kuning, lampu merah. Tidak mengikut tanda baca. Main redah sahaja. Yang bernoktah, tiba-tiba tiada noktah. Yang berkoma... koma cikgu mendengarnya.
Sampai satu ketika, sederet lima pelajar membaca dengan perlahan-lahan. Terkumat-kamit bibir mereka mengeja setiap patah perkataan sebelum dapat menyebutnya dengan lancar. Sudahlah waktu itu sudah hampir tengahari... MENGANTUK!!! Hendak menguap, tidak baik menguap di depan pelajar. Terpaksa ditahan sampai berair mata. Alih-alih, untuk menjimatkan masa dan untuk tidak melemahkan motivasi mereka, saya menunjukkan kepada mereka perkataan-perkataan yang dinilai untuk disebut dan siap! Kalau mula-mula ada yang langgar lampu merah, ini lampu hijau pun masih merangkak-rangkak. Huhuu... Akibatnya, tidak semua dapat dihabiskan.
Hari ini saya sambung lagi. Alhamdulillah, hari ini kebanyakan daripada mereka memang boleh membaca dengan lancar dan tidak melanggar lampu kuning hatta lampu merah sekalipun. Masih ada yang mengeja pun tidak tahu.
Pelajar (perlahan) : s.a.m.a (diam)
Saya (lembut dan penuh kasih sayang..eceh): Jadi, bunyinya?
Pelajar : Ma...
Saya : Apa dia? Cuba ulang.
Pelajar : s.a.m.a.... ma.
Saya : ma? Macam mana bunyinya 'ma' saja.. 's.a.' bunyi?
Pelajar : sa
Saya : m.a.?
Pelajar : ma
Saya : Jadi, s.a. 'sa', m.a. 'ma', bunyinya?
Pelajar : ma (sambil memandang saya tanpa rasa bersalah)
Saya ulang lagi. Dia pun ulang yang sama. Saya hampir putus asa. Hampir juga meninggikan suara, manalah tahu dia tidak dengar apa yang saya tuturkan (?). Kasihan, namun kerana masih ada yang menanti untuk diuji dan masa semakin suntuk, saya terpaksa lepaskan dia. Sudah pasti dia gagal. Ingatkan mahu terus ajar dia di situ. Ehm...
Seorang lagi pelajar. Kecil molek orangnya. Kalau sebut namanya, hampir semua guru kenal dia dan terhibur melihat dia. Lurus budaknya. Asal ada cikgu lambat masuk walau seminit, dialah yang datang ke bilik guru dan menjemput. Tengok daripada keadaan dia, memang sudah dapat mengagak yang dia agak lemah. Tetapi ada sesuatu yang dinamakan kesungguhan dan keinginan yang ada pada diri pelajar ini.
Ketika saya menyuruhnya membaca, dia mengeja. Laju dan cekap sekali dia mengeja dan membaca. Tapi, itulah masalah dia. Dia tidak boleh membaca tanpa mengeja terlebih dahulu. Saya titipkan pesan supaya rajin membaca supaya nanti bila membaca tidak lagi perlu mengeja. Katanya, dia memang suka membaca malah dia selalu membaca apa sahaja bahan bacaan yang ada di rumah cuma otaknya yang susah mahu terima. (Lembam)
Saya tanya lagi, ada sembahyang di rumah? Dia jawab, ya. Saya tinggalkan pesan lagi, kalau begitu selepas solat, jangan lupa minta dengan Allah supaya dipermudahkan. Supaya Allah senangkan urusan. Supaya Allah luaskan pintu hati dan membuka segala pintu rahmat. Minta dengan Allah. Dia memandang saya penuh minat, mengangguk dan tersenyum... dan air mata saya bergenang di tubir mata. Sebak, namun cuba untuk saya tahan.
Selesai menguji semua pelajar, saya nyatakan berita untuk menguatkan semangat mereka. Sesiapa yang lulus, akan ditukar ke kelas yang asal atau belajar di kelas biasa. Kebanyakan mereka bersorak termasuk pelajar yang lemah tadi *salah saya kerana memberitahu yang dia boleh membaca sedangkan masih dalam kategori lemah*. Kemudian, saya tersedar. Saya pandang dia dengan harapan dia faham. Saya ulang balik kata-kata saya dengan tambahan. 'Yang bagus maksud cikgu boleh membaca tanpa mengeja, tidak tersekat, tiada kesalahan tanda baca dan lancar'. Serta-merta air mukanya berubah.
Saya panggil nama dia, tanya samada dia okey atau tidak dan senyum kepadanya. Senyumannya kelat. Ahh~~ Terus saya keluar kerana tidak sanggup melihat wajah yang dihampakan. Jahat cikgu ni!
Buat masa sekarang, itu sahaja cerita tentang mereka. Ada lagi, saya cerita lagi. Sampai di sini sahaja untuk kali ini (1.43 a.m.!!). Saya mahu masuk beradu. Walaupun kurang mengantuk, tapi tetap kena tidur.
Salam.
Peace.




1 kata pesan:
Ntah nape aku suka sgt baca entri yang ini..rasa sebak pun ada...
Keep up ur good work Ida!
Post a Comment