Okey, saya mahu sambung membebel di sini. Pada entri sebelum ini saya banyak membebel tentang perjalanan pulang. Sekarang, saya mahu membebel tentang budak-budak sikit...juga tentang 2010.
Saya sayang mereka. Saya pun tidak tahu kenapa tapi saya sayang sangat dengan mereka semua. Ada waktu hati saya sedikit terguris dengan tingkah kasar atau kurang sopan mereka, tapi sekejap saja. Macam kakak dengan adik. Marah macam mana sekalipun, saya ada rasa untuk melindungi mereka. Sedih macam macam sekali pun dengan cara mereka, saya tetap ada rasa untuk mengubah.
Menyibuk. Mungkin itu yang bermain dalam fikiran mereka setiap kali saya menghampiri. Kadang-kala saya terpaksa berpura-pura tidak ambil peduli tentang mereka kerana saya tidak mahu mereka menjauh. Saya akui saya takut kalau mereka menjauh. Saya sedih mengingatkan yang mereka mungkin akan melupakan saya.
Harapan saya, mereka boleh buat yang terbaik untuk masa depan sendiri dan keluarga. Selamat maju jaya untuk SPM2009.
Tahun ini juga banyak memberi perubahan secara tidak langsung kepada saya. Pada mulanya saya tidak menyedari akan apa-apa, namun setelah hampir ke penghujung tahun ini dan atas teguran seorang rakan sekerja saya menyedari dan saya mensyukurinya. Alhamdulillah. Terima kasih KakDo atas segala kata-kata pujian yang ada kalanya takut untuk saya mendengarnya. Sebab tu respon saya macam tak berapa nak respon sebab saya tak tahu nak respon macam mana lagi. Terlalu tinggi rasanya.
Saya masih menganggap diri saya di bawah. Saya masih menganggap kerja saya di tahap yang tidak memuaskan. Bukan saya memberi pandangan yang negatif kepada diri sendiri, tapi cuba untuk mencari sesuatu yang positif di sekeliling diri. Ya, banyak lagi yang perlu saya perbaiki. Banyak lagi yang boleh saya usahakan. Apa yang saya capai setakat ini bukanlah apa-apa tapi ianya tetap memberi makna.
Saya tidak sangka saya mampu berdiri di hadapan dan bercakap tentang masa depan. Saya tidak sangka saya sanggup menggadaikan kewarasan diri demi sebuah tanggungjawab. Saya tidak pernah menduga yang saya akan lakukan semua yang suatu waktu dulu orang lain apatah diri sendiri menyangka saya tidak mampu lakukannya. Saya boleh sebenarnya! Saya mampu. Kerana itu Tuhan berikan saya semua itu. Teringat petikan doa yang sering saya ucapkan dikala susah (terlupa pula bila dah senang...aish) :
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala daripada kebaikannya dan mendapat dosa daripada kejahatan yang dilakukannya..."
(Al-Baqarah, Ayat 286)
Cuma saya terlambat memahami maksud firman tersebut. Saya merungut dan merasakan beban di bahu. Sekarang, setelah faham maksudnya barulah segala penat yang terpikul, segala tanggungjawab yang digalas menjadi mudah dan semakin mudah. Itulah, ucap saja tidak cukup. Faham yang penting.
Kalau tahun 2009 menyaksikan saya bertugas sebagai guru bimbingan dan kaunseling (saya bukan kaunselor bertauliah), guru subjek Geografi untuk dua kelas dan satu kelas untuk subjek Literasi Komputer, tahun 2010 bakal menyaksikan saya memikul pelbagai tugas. Insya Allah, Dia tahu setakat mana kemampuan saya. Saya tidak menyesal. Penat mungkin, tapi tidak mengapa. Mungkin sebenarnya saya lebih mampu daripada yang saya sangkakan. Orang lain juga!
Insya Allah, tahun hadapan saya akan kembali beraksi di bidang bahasa dengan mempertaruhkan dua kelas tingkatan 4 dan satu kelas tingkatan 5. Ketiga-tiganya berada di kedudukan yang agak mencabar. Selain itu, matapelajaran Geografi masih menjadi subjek kegemaran saya untuk tahun hadapan dan saya masih okey untuk meneruskan perjuangan. Cuma belum pasti samada saya akan mendapat satu atau dua kelas untuk subjek berkenaan.
(Macam ulasan sukan pula)
Itu di bahagian akademik. Di bahagian pengurusan, saya telah dilantik menjadi setiausaha untuk dua organisasi. Kalau diikutkan, jawatan ini saya rasa tidak mampu untuk ditanggung. Sedaya mungkin saya tolak tugasan ini, namun sekali lagi saya berpegang pada kata-kata di atas. Untuk kedudukan saya di UBK, masih belum ditinggalkan. Belum dapat ditinggalkan sebetulnya. Ada waktu, sayang rasanya untuk melangkah keluar dari sana, tapi saya juga sayang dengan pengajian yang 5 tahun dihadapi.
Untuk program bidang bahasa tahun hadapan sudah termaktub dalam perancangan, saya dan Carol akan menguruskan blog bidang bahasa (:D). Tiada masalah rasanya. Juga merancang untuk aktiviti-aktiviti di bulan bahasa nanti. Oh, aktiviti sudah dirancang, menjadi pelaksana sahaja. Saya buat program pertandingan 'SMK AA Spell-it-right' dan 'Poem Recitation Contest'.
Apa lagi ya? Belum lagi untuk aktiviti-aktiviti rasmi sekolah seperti sambutan hari guru, sambutan hari kecemerlangan, hari sukan dan sebagainya. Agak-agaknya saya masih memegang jawatan tetap dan berpencen sebagai pengacara majlis? Saya tiada masalah sebenarnya. Kalau dengar saya merungut, itu sebenarnya waktu saya tidak bersyukur, jadi sila tegur saya.
Bila diingat balik semua tugasan yang diberikan, itu sebenarnya bonus. Anugerah. Tidak semua orang boleh lakukannya. Itu sebenarnya satu pujian. Membuktikan kita dipercayai dan diyakini. Kalau pun bukan oleh manusia lain, paling penting Tuhan percaya dengan kita untuk menerima syurgaNYA. Insya Allah, dengan syarat redha, ikhlas dan tidak mempermainkan kepercayaan DIA.
Saya bukan sempurna. Ada ketika saya tidak dapat melakukan apa yang telah diamanahkan dengan baik dan sempurna. Saya cuma mampu memohon pada DIA agar memaafkan segala kekhilafan saya. Yang terdaya saya lakukan, diharap DIA dapat menerima seadanya. Kerana DIA Maha Mengetahui.
Maaf, saya bukan berbangga dengan kelebihan diri apatah lagi sengaja menghebahkan pada orang. Tapi, ya saya bangga dengan kemampuan diri saya. Bangga untuk diri saya sendiri kerana selama ini saya tidak pernah terfikir sejauh ini saya mampu melangkah. Saya sering merasakan saya di bawah dan masih merasakan saya di bawah. Bezanya saya boleh mendaki! Anda tidak suka tidak mengapa kerana inilah pendorong untuk saya terus maju. Jangan bimbang, saya tetap memandang ke bawah.
Hmm.. cukuplah dulu rasanya. Oh ya, ada perkembangan terbaru.
KakPiah dan Alia dapat berpindah! KakPiah ke SMK Subang dan Alia ikut suaminya ke Miri. Berair juga mata ni menahan hiba. Yalah, bukan senang mereka nak meninggalkan kawan-kawan yang banyak memberi cerita suka duka. Terutama sekali KakPiah. Empat tahun dia di Keningau terutama sekali di Taman Rizalman dan SEMEKAP, banyak kenangan dia di sini.
Selamat maju jaya juga buat KakPiah dan Alia. Juga selamat bakal pengantin baru kepada KakPiah. Insya Allah, saya akan usahakan ke majlis itu nanti (maaf Nia dan AbeJo, tarikh clash, jadi saya pergi yang dekat dulu, saya usahakan juga 12hb Disember nanti).
SELAMAT BERCUTI SEMUA!
Frank McCourt : Teacher Man
Instead of teaching, I told stories. Anything to keep them quiet and in their seats. They thought I was teaching. I thought I was teaching. I was learning. And you called yourself a teacher? I didn't call myself anything. I was more than a teacher. And less. In the high school classroom you are a drill sergeant, a rabbi, a shoulder to cry on, a disciplinarian, a singer, a low-lever scholar, a clerk, a referee, a clown, a counselor, a dress-code enforcer, a conductor, an apologist, a philosopher, a collaborator, a tap dancer, a politician, a therapist, a fool, a traffic cop, a priest, a mother-father-brother-sister-uncle-aunt, a bookkeeper, a critic, a psychologist, the last straw. - Frank McCourt: Teacher Man
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


4 comments:
Salam ziarah, auntie gembira membaca n3 nih, sebab cikgu dah faham bahawa apa yang kita hadapi baik atau buruk ada lah perjalanan hidup yang dah di tetapkan oleh Allah.Moga kita dpt mengharungi nya dengan redho..Amin
Amin... terima kasih auntie.. terima kasih juga kerana sudi melawat blog saya.
selamat bercuti shaz!
happy cutiing ida!~
cikgu yang baik adalah seperti kamu. yep,percayalah setiap kejadian ada sebabnya. :)
all the best ida. chaiyyok!
Post a Comment