Bersamaan 10 Oktober 2009 iaitu pada hari Sabtu telah diadakan majlis rumah terbuka kami bertempat di Taman Rizalman, Keningau Sabah. Sesungguhnya kami itu ialah sekumpulan gadis dan seorang isteri. Tahun lepas pun seorang isteri tapi isteri orang lain. Tahun ni isteri orang lain pula. Yang tahun lepas, sudah pun ikut suami. Tahun hadapan mungkin juga isteri orang itu akan mengikut suami maka yang tinggal hanyalah kami para gadis. Itupun berkemungkinan besar bilangan para gadis akan berkurangan memandangkan ada dua orang bakal meninggalkan alam kegadisan pada tahun hadapan. Tahniah untuk mereka...
Saya mulakan pengembaraan rumah terbuka kami.
Seawal 5.00 pagi hari Jumaat (9 Oktober 2009), KakZah, KakHa dan KakFizah telah pergi ke pasar pagi untuk membeli ikan-ikan yang boleh dibeli secara borong dan murah. Saya pula masih nyenyak tidur.. ngehehe... Oleh yang demikian, apabila saya bangun, saya dapat mandi dengan senang lenang kerana tidak perlu berebut bilik air. Ketika saya sedang menggosok baju sekolah, iaitu lebih kurang jam 6.10 pagi, barulah mereka pulang. Kasihan juga ya, mereka terpaksa mandi dengan gopoh gapah terutama sekali KakFizah. KakZah menjaga PMR di Keningau II jadi tidak perlu berkejar sangat. Tak sampai 5 minit pun Keningau II itu. Saya ke sekolah dengan KakHa. Ok ok.. cerita kembara.
Pulang dari sekolah jam 12.00 tengahari, berbincang beberapa barang yang masih belum cukup, solat, berehat sekejap lagi, lalu saya memulakan operasi menyiang ikan sebanyak 27kilo. Mula-mula saya seorang. Menjelang petang, KakHa datang menghulur bantuan. Maka saya dan KakHa melakukan tugasan menyiang ikan. Jari jemari saya memang tidak sah kalau tidak luka. Begitu juga dengan KakHa. Mengaduh jangan dicakap. Adeh! Aduh! Ouch! Wuuu!..macam-macam versi. (Bosan betul entri hari ni).
Selesai menyiang ikan, kami membantu apa yang terdaya ketika menyiapkan laksa penang. Kemudian, menjelang senja, KakZah ke rumah KakNah untuk mengambil barang-barang untuk makan-makan. Pinggan mangkuk sudu garfu tray dsb. Saya bersiap mandi atas dua sebab 1)bau ikan. 2)berpeluh dan berbau ikan.
Seusai mandi dan solat Asar, yang lain sedang berperang dengan tray pinggan mangkuk gelas sudu garfu dsb di luar. Saya hanya memerhati kerana ingin menunggu masuk waktu Maghrib. Azan habis, saya terus solat kemudian keluar mengambil alih tugas berperang. Sebelah malam, ada lagi tugasan yang belum selesai. Tapi saya lupa sudah apa yang saya buat (serius ni, kenapa sekarang selalu lupa ingatan?) Ouh..oh..ingat sudah! Kami keluar masuk dapur bergilir mengacau kuah laksa, sementara yang lain tetap mengisar ikan, bawang dan lada. Tepat jam 9 malam, semua aktiviti hampir berhenti untuk iklan...oh tidak! Untuk Nur Kasih semestinya.
10 minit lagi!
Sudah pukul 9!! Berhenti bekerja!
KakZah siap bagi amaran untuk mencabut semua wayar selagi kerja tidak selesai. Wi-fi pun mahu ditutupnya. Tapi saya memang tidak buka cik lappy sepanjang hari tu. Berjaya! Alhamdulillah, gotong royong berjaya dijalankan mengikut waktu yang ditetapkan. Habis cerita Nur Kasih, kami menyambung sedikit sebanyak kerja yang harus diselesaikan dan masing-masing masuk tidur.
Tetapi, oleh kerana semua kepenatan maka kami pun bangun lambat. Saya? Huhuhu.. hehehe... hihihi... KakYam datang ketuk tingkap bilik saya pada lebih kurang jam 8.30 pagi. Kemudian, saya pula yang ketuk pintu bilik KakZah. KakFizah sudah keluar membeli sarapan untuk kami melakukan kerja. Jadi, tanpa mandi, tanpa sarapan, kami meneruskan kerja. Menjelang tengahari, kerja-kerja masih belum selesai. Namun, sudah ada dua buah bas datang! Budak Apin-Apin sudah menyerang! Aaahh! Makanan belum siap hidang. Ada juga 2-3 orang guru yang juga datang awal, jadi dikesempatan ini saya mewakili rakan-rakan memohon maaf di atas kelewatan.
Dalam kelam kabut menyambut, melayan tetamu yang hadir dan menyudahkan kerja-kerja, kami terlupa air belum dibuat. Air yang ditapis belum mencukupi. Mengangkutlah pula dari rumah KakFiza dan Cikgu Kharazil. Ditengah-tengah orang ramai, kami mengangkut. Setelah memastikan semuanya telah tersedia, saya pulang ke rumah dan menggosok baju untuk beraya. Kalau ikutkan hati, malas saya mahu bergaya. Cukuplah berbaju T dan berseluar panjang. Ketika sedang menggosok, KakZah datang beritahu tiada orang membasuh pinggan-pinggan kotor lalu saya menawarkan diri untuk bersama dengan KakZah. Beradalah saya di belakang rumah bertenggek menjadi gadis cuci. Alang-alang bermain air, maka kami ambil keputusan untuk tidak mandi... Ngehehe.. dengan ini rasminya saya mengaku, saya tidak mandi semasa hari terbuka rumah saya... sebab itu saya tidak berada di barisan hadapan pada hari berkenaan.
Sepanjang hari berkenaan, dua kali saya terlelap. Sekali pada awal tengahari, masuk ke bilik sekejap untuk tengok telefon, sekali baring terus lelap. Kali kedua, dekat Maghrib juga masuk untuk tengok telefon. Saya mendapat 5 panggilan tidak berjawab dan satu SMS daripada dia. Saya sangka dia sudah dapat makluman tentang kesibukan saya. Saya mahu balas tetapi kredit pula kering. Saya guna nombor satu lagi, tunggu dia balas. Alih-alih dia kata tidak senang. Heya!
Tanpa disangka-sangka, banyak makanan dan sikit tetamu. Tetapi rupa-rupanya tetamu terlampau ramai terutama sekali budak-budak sekolah. Habis, Apin-Apin saja 2 buah bas. Bingkor pula boleh dikatakan satu batalion (batalion?) budak asrama. Keningau II lagi. Gunsanad II lagi. Oleh yang demikian, laksa ditambah dari 15 bungkus kepada 30 bungkus. Nasi kerabu 10kilo habis.
Oleh kerana kami mewartakan majlis rumah terbuka kami bermula 12 tengahari sehingga 5 petang, maka tepat jam 5 petang, tiada lagi tetamu yang hadir. Kami bersiap-siap pula untuk mengemas. Laksa terlebih rebus lah pula. Huhuk... Sekali lagi kami akan berperang membersihkan bekas makanan. Kerana saya dan KakZah tidak mandi...(hahaha)... sebelum solat Maghrib, kami membersihkan diri dan solat. Sebelum itu, kami makan laksa yang lebih. Sudah mandi, kami ke rumah KakPiah untuk menyertai yang lain. Saya sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Saya cuma mahu tidur saja. Malam hari, tidak banyak yang saya lakukan. Yang sempat saya buat hanyalah membersihkan rumah dan membersihkan perkakas-perkakas yang kecil saja. Orang lain pula ambil alih yang lain. Jam 9 lebih, semua sudah selesai tapi kami borak-borak lepak-lepak di luar rumah sambil minum air. Macam orang lelaki pula duduk di luar lepak dan berborak kosong gelak-gelak..tssk..tskk.. :D
Maka berakhirlah aktiviti rumah kami yang dibuka. Eh..tidak! Belum tamat lagi episod suka duka lara kami...
Jom sambung entri seterusnya pula...


No comments:
Post a Comment