So? So? Jadi?
Ahaha... bosan ni. Cuti seminggu tapi langsung tak ada aktiviti berfaedah. Rasanya paling berfaedah yang telah dilakukan adalah memasak untuk diri sendiri. Selain daripada itu, baring-baring termenung dalam bilik, online, termenung lagi. Berpindah dari katil ke meja. Dari Ipad ke encik lappy. Kadang-kadang tak cukup tangan layan dua-dua. Waah... konon hidup di alam canggih la tu?
Beberapa hari lepas 'mata masuk habuk'. Semuanya gara-gara adik sepupu yang baru saya terima permintaan MukaBuku nya. Anak kepada arwah MakSuZa. Apa yang buat mata saya jadi kemasukan habuk? Gambar profil nya. Bersama arwah mamanya. Gambar yang saya rasa sudah 5-6 tahun dulu. Sewaktu arwah mamanya masih sihat walafiat.
Apabila diselongkar album gambar MukaBuku Aliff, yang ada hanyalah gambar kenangan bersama arwah mamanya. Dang! Mata saya masuk habuk lagi. Tsskk...
Aliff Haiqal. Sekarang umur dia 14 tahun. Baru semalam dia menyambut ulangtahun ke 14... Sudah empat tahun dia menyambut hari lahir tanpa insan yang membawa dia ke dunia. *Oh, sabar air mata.. jangan nak berdrama sangat.*
Setiap kali teringatkan arwah MakSuZa, saya mesti terkenangkan Aliff dan adik-adiknya. Tidak sah tanpa diiringi air mata. Bukan setakat mengalir, malah boleh teresak-esak... *I am, right now.* Mungkin kerana mama mereka pergi di saat mereka masih perlukan kasih sayang seorang ibu. Terutama sekali Aliff selaku yang sulung.
Empat saudara lelaki. Tanpa ibu. Aliff Haiqal, Aqil Hadif, Akif Hanan dan Aidid Hakim. Arwah tinggalkan mereka di bulan Ramadhan tahun 2008. Saat saya menerima panggilan awal pagi daripada umi, saya di sekolah bersedia untuk mesyuarat akhir tahun pertama saya. Itulah berita kehilangan insan terdekat yang pertama saya terima dalam hidup.
Aliff baru 10tahun. Yang bongsu, si Aidid baru 4tahun. Aidid mungkin tidak terasa sangat kehilangan mamanya memandangkan sedari dilahirkan, papanya yang urus lantaran arwah disahkan sakit. Manjanya pun lebih dengan papa dia. Jika ditanya tentang mama pun, rasanya tak banyak mana memori tersebut.
Lain pula dengan abang-abangnya. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata apabila saya terkenang saat mereka bersama arwah mama mereka. Saya saksikan bagaimana arwah jaga anak-anak nya, memberi kasih sayang, ilmu, marah-marah sayang... saya ada. Dan kalau saya jadi mereka, itulah kenangan yang paling sukar dilupakan.
Tiada lagi mama untuk paksa buat kerja rumah. Tiada lagi mama untuk nasihatkan jangan jadi nakal. Tiada lagi mama untuk marah bila usik adik. Tiada lagi mama untuk... segala kenangan bersama. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana mereka hidup dengan memori tersebut.
Beberapa tahun selepas arwah tiada, papa mereka bawa mereka pindah ke tempat lain dan membina keluarga baru. Namun, setiap kali mereka datang melawat Mok dan To'che di rumah yang menyimpan seribu satu kenangan bersama arwah mama mereka, dapat saya lihat dalam sinar mata Aliff, Akil dan Hanan... satu perasaan yang tidak terungkap.. Kerinduan. Dapat saya rasakan apabila anak mata mereka menelusuri setiap penjuru rumah besar yang sudah semakin hilang seri itu.
Ya, dulu rumah Mok dan To'Che ceria dengan gelak tawa mereka. Suara mama mereka memanggil kedengaran hingga ke rumah saya. Sekarang, sunyi sepi. Yang ada hanyalah dua orang tua yang hidup mengharap belas ihsan anak-anak yang lain. Mok yang semakin hari semakin lemah, kadang kala nyanyuk dan menyangka anak bongsu nya masih ada. Ada kala, ditanya tentang empat beradik. Di mana mereka? Apa mereka buat?
Sayu. Itu saja yang ada dalam fikiran saya. Kerap kali saya sembunyikan wajah tatkala Mok bertanyakan tentang keberadaan arwah. MakSuZa dah lama tak ada, Mok. Cukup-cukuplah terkenangkan insan yang telah pergi.
To'Che pula cuba lari dari kenyataan, anak bongsunya sudah tiada. Macam-macam dituduh suami arwah. Perampas. Pengikis. Lelaki paling jahat membiarkan anaknya pergi dari dunia ni. PokSu datang melawat dengan anak-anak, dihalau. Mok baru nak terubat rindu pada anak melalui cucu-cucunya, Tok'Che hambat keluar.
Kami yang masih hidup ini cuba memahami perasaan orang tua yang kehilangan. Kami teruskan hidup untuk mereka.
Berbalik kepada Aliff. Semenjak papa dia kahwin dengan seorang balu anak tiga, dia dihantar ke sekolah pondok. Di sana harap dia lebih tabah dan dapat menerima kenyataan hidup. Tapi, saya pula yang tak boleh terima kenyataan.
Sudahlah hilang kasih sayang ibu, tidak mampu bersama nenek dan datuk untuk mekarkan kenangan bersama arwah mama, dihantar pula ke sekolah pondok. Kurang pula kasih sayang seorang ayah dan tidak mampu melihat setiap hari perkembangan adik-adik. Itu yang saya rasa kalau saya di tempat dia. Sebab itu juga, saya rasa semakin lama dia semakin rindukan mamanya.
Aliff bukan Aliff yang dulu lagi. Apabila dia datang melawat, dia bukan lagi budak kecil berbadan besar yang selalu kena buli dek abang-abang sepupu dan bapa saudara. Dia jadi pendiam. Sinar matanya menggambarkan kerinduan. Setiap kali saya pandang dia, saya jadi sebak. Seolah-olah dia memberitahu saya, "Kaklong, Aliff rindu mama."
Dedikasi khas untuk adik sepupu tersayang...
Ya, kaklong sayang Aliff. :)
Kaklong berdoa Aliff terus bersemangat untuk hidup. Teruskan perjuangan Aliff. Ingat janji Aliff pada mama untuk jadi anak yang soleh. Ingat janji Aliff pada mama untuk jaga adik-adik. Ingat janji Aliff pada mama untuk belajar rajin-rajin. Walau apa pun yang terjadi, Aliff tetap anak Ruzaini. Sentiasa doakan kesejahteraan dan keberkatan arwah mama di sana. Kaklong juga selalu doakan kesejahteraan mama Aliff. Sama-sama kita.
Setinggi mana pun rindu Aliff pada mama, ingat kami di sini. Keluarga arwah mama sentiasa ada untuk Aliff dan adik-adik. Kami sayang Aliff, Aqil, Hanan dan Aidid.
![]() |
| *Kenangan* (Aidid tiada dalam gambar) |
Salam.
Peace.



No comments:
Post a Comment